Sastra Kehilangan "Sandaran" di Hati Remaja
Artiket-Pelajarnews.net
SASTRA sering dikaitkan dengan keindahan, terutama dari segi penggunaan gaya bahasanya. Malah, Kamus Dewan (Edisi Keempat) turut mentafsirkan sastera sebagai bahasa yang digunakan dalam kitab-kitab atau hasil seni (karya tulisan) dalam bentuk prosa atau puisi yang mempunyai ciri-ciri keistimewaan tertentu.
Perkataan sastera ini dikatakan berasal dari bahasa Sanskrit iaitu ‘castra’ (disebut syastra) yang bererti kitab suci. Manakala ‘susastera’ pula bermaksud seni sastera atau seni bahasa. Sehubungan dengan itu, tidak heranlah jika sastera sering pula diandaikan pemilikannya oleh orang yang berjiwa ‘halus’ atau ‘seni’ sahaja. Hal ini juga turut menjadikan sastera seolah-olah bukan milik universal, tetapi milik segelintir masyarakat yang dipanggil sebagai ‘orang sastera’.
Fenomena ini seharusnya perlu dibimbangi oleh ‘orang sastera’ kerana tidak dinafikan sastera mungkin akan hilang suatu hari nanti bersama ‘orang sastera’ itu sendiri yang jumlahnya semakin hari semakin mengecil ini. Kemerosotan jumlah khalayak sastera semakin menyerlah. Remaja lepasan sekolah, tanpa silu-silu lagi mula menjauhkan diri daripada sebarang aktiviti atau bahan bacaan berkaitan sastera ini. Padahal, golongan ini baharu sahaja menerima pendedahan tentang sastera ini sama ada menerusi teks Komsas yang dimuatkan dalam subjek Bahasa Melayu atau subjek Kesusasteraan Melayu sebagai elektif.
Aura sastera sepatutnya masih membara dan panas lagi dalam jiwa mereka. Namun, perkara di sebaliknya pula yang terjadi. Mungkin mereka berasa bebas setelah terlepas daripada ‘kongkongan sastera’ kerana tiada lagi paksaan daripada guru untuk membaca, menelaah dan meneliti bahan pelajaran sastera yang tidak diminati mereka ini.
Dalam hal ini, sudah tentulah keberkesanan pelaksanaan modul Komsas dan Kesusasteraan wajar diteliti kembali terutama isi kandungan sukatan pelajaran dan pelaksanaannya di dalam bilik darjah.
Walaupun diakui isi kandungan sukatan pelajaran dan pelaksanaannya sedia ada sudah boleh dianggap terbaik, namun kesan jangka panjang ‘penghayatan sastera’ dalam kalangan pelajar khususnya pelajar atau remaja yang telah meninggalkan alam persekolahan perlu diambil kira untuk memastikan ilmu sastera yang dipelajarinya semasa di bangku sekolah, tetap utuh dalam diri masing-masing untuk selama-lamanya.
Pastinya, penambahbaikan semula sukataan pelajaran sama ada Komsas atau Kesusasteraan Melayu termasuk teksnya sendiri tidak harus dipandang sepi. Cubalah dekati golongan remaja ini sambil bertanyakan sama ada mereka terus memilih bahan bacaan yang berupa karya sastera setelah meninggal alam persekolahan.
Tidak mudah dinafikan jika dikatakan bahawa sebilangan besar golongan ini akan menggelengkan kepala.Bagi mereka, bebanan ketika bergelumang dengan teks Komsas atau teks Kesusasteraan Melayu sudah berlalu.
Seharusnya, bebanan ini tidak perlu diulangi lagi setelah mereka melangkah keluar daripada alam persekolahan. Sebenarnya tidak terlalu sukar untuk mencari bukti berlakunya tragedi ngeri dan amat menakutkan yang sedang dialami oleh sastera khsususnya karya ini.
Saingan Hebat
Luangkan sedikit masa, menjengahlah ke rak-rak di kedai buku yang menjual novel-novel popular. Berlambak-lambak novel popular yang dipamerkan. Penggemarnya tidak menghampakan. Beratur panjang, remaja dan suri rumah untuk membayar harga novel popular yang dipilihnya di kaunter bayaran. Situasi ini membuktikan betapa, novel popular tetap ramai khalayak dan pembelinya.
Kemudian, beralih ke rak-rak yang menempatkan karya sastera seperti novel, antologi puisi, kumpulan puisi, antologi cerpen, kumpulan cerpen, kumpulan drama atau antologi skrip drama. Suasananya pasti berbeza. Lengang dan suram! Sepintas lalu, memang diakui bahawa remaja kita masih tetap membaca karya bercetak, walaupun semakin ramai yang beralih ke media maya seperti Facebook, Instagram, blog dan sebagainya.
Malah, ramai dalam kalangan penggemar novel atau karya remaja ini amat mengenali penulis-penulis karya popular ini berbanding penulis karya sastera. Sebaliknya, nama-nama penulis yang karyanya dibaca, diteliti dan dikaji tatkala membaca teks Komsas juga semakin hilang daripada fikiran mereka.
Tidak keterlaluan dikatakan juga bahawa remaja ini akan tergagap-gagap untuk menyenaraikan nama-nama Sasterawan Negara mereka sendiri. Sebaliknya, mereka lebih lancar menamakan penulis-penulis karya popular yang diminati.
Sebagai ‘orang sastera’ kita tidak seharusnya cemburu dengan populariti yang dikecapi oleh penulis-penulis karya popular ini.
Begitulah gambaran situasi dan kedudukan karya sastera dalam kalangan remaja sepintas lalu. Tidak terlalu sukar rasanya untuk mengesan punca tsunami karya sastera dalam kalangan remaja atau generasi muda.
Selain saingan hebat daripada penularan penggunaan gajet dalam kehidupan seharian, sikap remaja yang menganggap sastera bukan sahaja sebagai sesuatu yang kurang komersial, malah turut meletakkan taraf sastera ini pada tempat yang tidak sewajarnya, walaupun sastera merupakan sesuatu yang indah dan cantik.
Sastera, khususnya karya sastera seolah-olah tidak diperlukan lagi untuk menjalani kehidupan dalam dunia luas dan serba moden ini. Sastera hanya layak dipelajari ketika di bangku sekolah sahaja. Bernarkah karya sastera ini sudah tidak berfungsi lagi selepas para pelajar atau remaja meninggalkan bangku sekolah?
Kalau benar, ini merupakan suatu fenomena duka bukan sahaja buat orang sastera, malah buat khazanah bangsa kita sendiri. Sebaiknya, remaja sebagai pewaris bangsa harus meneliti dan berpegang kepada takrif Kesusasteraan Melayu dalam pendidikan yang digariskan dalam Sukatan Pelajarannya.
Sukatan pelajaran ini menegaskan bahawa Kesusasteraan Melayu dalam konteks pendidikan merupakan karya asal yang tertulis dalam bahasa Melayu berunsurkan keindahan dan kehalusan sama ada berbentuk novel, cerpen, drama, sajak, prosa tradisional atau puisi tradisional bagi megimbangi intelek, rohani, emosi dan jasmani di samping memaparkan nilai kemanusiaan dan citra masyarakat. (00234-Sisi-Mlys)
0 comments:
Post a Comment